
Permukiman Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) bersama Pengurusan MAIDAM Tahun 2026 yang telah diadakan pada 2-4 Oktober 2026 bukan sekadar medan pertemuan dan perkongsian pandangan, sebaliknya menjadi titik tolak untuk mencorakkan masa hadapan MAIDAM secara lebih strategik, tersusun dan berimpak.
Mengangkat tema “Mencorak Masa Hadapan: MAIDAM Yang Kita Impikan”, permukiman kali ini memberi penekanan kepada keperluan membina organisasi MAIDAM yang lebih amanah dalam pengurusan, kukuh dalam tadbir urus, cekap dalam penyampaian perkhidmatan, produktif dalam pengurusan aset serta berkesan dalam membangunkan ummah.
YBhg. Dato’ Nara Setia (Yang Dipertua MAIDAM), dalam ucaptama beliau menegaskan bahawa masa hadapan MAIDAM bukan sekadar menjadi agenda perbincangan, tetapi perlu dicorakkan dan dilaksanakan bersama oleh Ahli MAIDAM dan Pengurusan MAIDAM.
Antara asas utama yang ditekankan ialah amanah, kompetensi, tadbir urus dan integriti bagi memastikan MAIDAM terus menjadi institusi yang dipercayai masyarakat.
Pada masa yang sama, permukiman ini memperkukuh kefahaman bahawa kesepakatan Ahli MAIDAM dan Pengurusan MAIDAM merupakan kunci kepada keberkesanan pelaksanaan. Perbezaan pandangan perlu dilihat sebagai nadi kekuatan, namun setelah keputusan dibuat melalui proses yang sewajarnya, semua pihak perlu bergerak sebagai satu pasukan.
Lebih penting, hasil permukiman ini perlu diterjemahkan kepada pelan tindakan yang jelas dan berimpak kerana kejayaan permukiman bukan diukur pada banyaknya pembentangan, tetapi pada perubahan yang berlaku selepasnya.
Dalam pada itu, YBhg. Dato’ Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin bin Adnan (Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM) merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Yang Dipertua serta Ahli-Ahli MAIDAM serta berharap permukiman ini dapat memperkukuh kesepakatan dan menghasilkan gagasan baharu demi masa hadapan MAIDAM yang lebih baik serta memberi manfaat yang lebih besar kepada umat Islam di Terengganu.